Thursday 24 April 2014

TEORI-TEORI PEMBELAJARAN . . .


Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran khususnya dalam konteks pendidikan khas. Teori dapat memberi panduan atau kaedah yang berkesan dan bersesuaian untuk menyelesaikan masalah murid. Antara fungsi teori kepada guru ialah :

  • Teori membantu untuk seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan, teknik, kaedah pembelajaran yang boleh digunakan kepada pelajar.
  • Teori memberi panduan pengetahuan yang sistematik dan konsep bekerja bagi membolehkan pengubahsuaian sesuatu ilmu baru dan ia amat penting kerana memberi arah panduan menjelaskan dengan lebih teratur struktur pemikiran dan ini membentuk tindak balas yang diingini berlaku.
  • Teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina berdasarkan konsep dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori adalah cabaran, kekuatan, bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan membuat penilaian bagi membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini bersesuaian dan berguna serta berhasil.

Menurut Thomas (1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta-fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkara-perkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan).


Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali perlu dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran. Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh murid khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan murid ini dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam pengajaran mereka. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran dibincangkan supaya boleh membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian semasa pengajaran.


Teori Pembelajaran Behaviorisme

Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud. Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah dipelajari.

Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku boleh diukur, diperhatikan dan dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak balas bergantung kepada peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat kaitan rangsangan dengan gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini boleh dikawal melalui ganjaran dan dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan konsep pelaziman klasik dan pelaziman operan apabila menjelaskan proses pembelajaran (Jalongo dan Isenberg 2000).


Teori Pembelajaran Kognitif

Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah  yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku melalui cuba jaya sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme. Menurut psikologis ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal. Dengan itu, nyatalah seseorang individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk mempelajari sesuatu.

Teori kognitif berpegang kepada persoalan bagaimana kita mengetahui, memperolehi, memproses dan menggunakan maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-murid khas , guru perlulah menyesuaikan segala teori-teori yang ingin digunakan. Ada kalanya teori behaviorimse penting digunakan demikianlah juga dengan teori kognitif. Semua teori boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Teori Pembelajaran Sosial

Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku orang lain. Bandura berpendapat bahawa :
  • Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. 
  • Peniruan selalunya diteguhkan. 
  • Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip pelaziman klasik. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura,menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.

Teori Pembelajaran Humanis

Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut :


  • meningkatkan arah kendiri dan kebebasan murid.
  • membantu murid agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan perkara yang ingin dipelajari oleh mereka.
  • meningkatkan daya cipta murid.
  • mengembangkan minat dalam bidang seni.
  • meningkatkan naluri ingin tahu murid.

Asas teori ini adalah kepercayaan seseorang murid mempunyai keperluan untuk pencapaian hasrat diri. Guru perlulah membantu murid mencapai hasratnya. Ini berlaku kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan.

Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah seperti berikut :

  • murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui.
  • Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta.
  • Penilaian yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya.
  • Perasaan murid adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah sama penting dengan pembelajaran berfikir.
  • Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak berasa terancam.

Wednesday 23 April 2014

UNIT DISIPLIN KPM : BENTUK-BENTUK HUKUMAN YANG DILARANG . . .

Kalau dilihat tempo dalam pelaksanaan tindakan disiplin hari ini, ada sahaja berita di mana pelajar atau ibu-bapa yang menyaman guru kerana penggunaan tindakan disiplin ke atas anak mereka.

KENAPA ???


Pada kami, pelajar dan murid-murid sekolah sekarang sudah semakin bijak. Mereka sudah tahu undang-undang. Tetapi, dalam masa yang sama, mereka juga mengambil peluang di atas kelompongan undang-undang yang ada dalam sistem pendidikan.

Pelajar-pelajar dan ibu bapa kadang-kadang terlupa, bahawa murid-murid ke sekolah untuk belajar dan menimba ilmu. Jika mereka membuat masalah disiplin, serta tidak membuat latihan. Pada kami, murid-murid ini memang layak menerima hukuman. Tetapi, hukuman tersebut juga biarlah berpada dan berniat untuk mengajar.

Dibawah ini, kami kongsikan senarai hukuman yang dikatakan tidak boleh digunakan kepada pelajar-pelajar dan murid-murid sekolah.


hukuman disiplin yang tidak dibenarkan kementerian pendidikan malaysia


Kalau dilihat pada senarai hukuman yang dikongsikan di Twitter seperti di atas, pada pendapat kami, ada yang tidak perlu dilakukan dan ada juga yang sepatutnya tidak perlu dilakukan. Tetapi, pada kami, ada baik dan buruknya jika hukuman disiplin dapat dilaksanakan.

Ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak mereka menjadi punca mengapa gejala sosial berlaku dan juga guru hilang kawalan terhadap membentuk aspek kerohanian pelajar untuk menjadi orang yang berguna kepada masyarakat.

Apa pula pendapat anda? Kongsikan pendapat bernas anda dengan kami.

Sumber : http://agendasemasa.com/senarai-hukuman-disiplin-yang-tidak-dibenarkan- kepada-murid-pelajar#ixzz2ziPZ00uH

ISU SEMASA : SAHSIAH GURU 2

SITIAWAN - Guru yang didakwa mencederakan empat pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Nan Hwa, di sini diberikan cuti selama seminggu dan diarahkan supaya mendapatkan rawatan.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, guru berkenaan hanya boleh kembali ke sekolah setelah disahkan bersedia untuk kembali bertugas oleh pakar.

Menurutnya, kerajaan negeri dukacita dengan kejadian itu kerana bertentangan dengan etika profesion perguruan.

“Guru berkenaan diberi cuti selama seminggu dan dinasihatkan supaya menjalani rawatan sewajarnya dan jika pakar mengesahkan dia benar-benar sihat barulah boleh kembali ke sekolah.

“Namun begitu, saya akan membuat perbincangan dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Manjung dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi guru berkenaan,” katanya ketika melawat sekolah berkenaan, semalam.

Turut serta, Pengetua Sekolah, Ng Aik Geen dan Pengerusi Lembaga Sekolah, Ling Leong Peng.

Dr Muhammad Amin berkata, empat pelajar yang dicederakan oleh guru berkenaan kini trauma untuk berada di sekolah, namun dibantu melalui rawatan dan bimbingan kaunseling.

Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit telah kembali bersekolah dan meneruskan pelajaran seperti biasa.

Katanya, dalam kes itu, pihak berkaitan dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan masalah tersebut.


Sumber : http://www.sinarharian.com.my/guru-pukul-pelajar-cuti-seminggu-1.252077

Wednesday 16 April 2014

Murid dakwa dipukul oleh guru sehingga lebam ??

gambar hiasan


KLUANG - Seorang murid darjah lima di salah sebuah  sekolah rendah di daerah ini, mendakwa dipukul seorang guru menggunakan rotan di bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga  lebam, pagi kelmarin.

Abdul Rahman Mustafa, 11, yang juga kanak-kanak orang kurang  upaya (OKU) fizikal memberitahu, guru berkenaan memukulnya  kerana dia gagal menjawab  soalan yang diberikan pada sesi pembelajaran.


Menurutnya, sebelum dipukul dia diarahkan guru terbabit supaya menghulurkan tangan, tetapi dia mengelak.

Akibat tindakan itu katanya, guru tersebut bertindak di luar jangkaan dengan memukul bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga lebam.

Tambahnya, sebelum dipukul, dia terlebih dahulu dipanggil ke hadapan kelas dan cikgu itu menyuruhnya menghadap ke papan hitam lalu memukulnya dengan rotan yang besar.

“Lebih daripada sekali saya dipukul sehinggakan saya menangis kerana tidak dapat menahan sakit. Selepas dipukul, saya diarahkan untuk berdiri di atas kerusi,” katanya kepada Sinar Harian, di kediamannya di sini, semalam.

Ibu mangsa, Faridah Kunyikoya, 32, meluahkan rasa kesal di atas kejadian itu malah menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau meskipun sebelum ini dia tidak kisah jika anaknya dipukul bagi tujuan mendidik.

Menurutnya, kejadian itu diketahuinya selepas Abdul Rahman mengadu sakit di bahagian belakang badan sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

“Tanpa berlengah, saya melihat dan terkejut dengan lebam yang terdapat di bahagian belakangnya. 


“Pada mulanya saya mahu pendamkan sahaja perbuatannya kerana tidak mahu memalukan pihak sekolah tetapi saya tidak mahu perbuatan sama berulang lagi.

"Abdul Rahman kini trauma untuk ke sekolah dan mahu dia ditukarkan ke kelas pendidikan khas,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mustafa Mohamed, 35, memberitahu dia dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya kira-kira pukul 10.30 malam.

Dia kemudiannya segera membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam, di sini, kira-kira sejam kemudian.

Dia yang juga seorang penyelia di sebuah syarikat di Pasir Gudang membawa anaknya itu menjalani  pemeriksaan di Hospital Kluang  sebelum membuat satu lagi  laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, tengah malam kelmarin.

“Guru tersebut mengaku dan memohon maaf ketika saya berjumpanya di sekolah hari ini (semalam).

“Saya menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari, mengesahkan  menerima laporan berkenaan dan siasatan awal terhadap guru berkenaan sedang dijalankan.



Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/murid-dakwa-dipukul-guru-hingga-lebam-1.261726

GURU OH GURU oleh USMAN AWANG (1979)

Berburu ke padang datar..
Dapat rusa belang kaki..
Berguru kepala ajar..
Ibarat bunga kembang tak jadi..

Dialah pemberi paling setia..
Tiap akar ilmu miliknya..
Pelita dan lampu segala..
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.. 

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat..
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat..
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat..
Seribu tahun katanya menjadi hikmat..

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa..
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta..
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara..
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia..
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara..
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka..
Jika hari ini siapa sahaja menjadi Dewasa..

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa..
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca..
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya..
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota..
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu..
Dia adalah guru mewakili seribu buku..
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa..
Semakin bererti tugasnya kepada negara..

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku..
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu..
Panggilan keramat “CIKGU” kekal terpahat..
Menjadi kenangan ke akhir hayat..



Tuesday 15 April 2014

Pendekatan Pembelajaran : Teori Tingkah Laku

Teori tingkah laku (behaviorisme) yang diperkenalkan oleh Ivan P.Pavlov dan dikembangkan oleh John B.Watson, Edward L.Thorndike dan B.F.Skinner, berpendapat bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Teori pembelajaran mereka kebanyakannya dihasilkan daripada ujian dan juga pemerhatian yang dilakukan ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung di dalam makmal. Mereka menumpukan ujian kepada perhubungan antara ‘rangsangan’ dan ‘gerakbalas’ yang menghasilkan perubahan tingkahlaku. Secara umumnya teori behavioris menyatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran akan mempengaruhi segala perbuatan atau tingkah laku pelajar sama ada baik atau sebaliknya. Teori ini juga menjelaskan bahawa tingkah laku pelajar boleh diperhatikan, dikawal dan diramal.


TOKOH-TOKOH YANG MEMPELOPORI TEORI TINGKAH LAKU


ISU SEMASA : SAHSIAH GURU

KUANTAN: Mungkin kerana kesunyian akibat berjauhan dengan isteri, seorang guru gagal mengawal nafsunya lalu merogol pelajarnya sendiri berusia 15 tahun selepas mempelawa mangsa datang ke rumahnya dengan alasan mengulang kaji pelajaran.
Kejadian berlaku di rumah guru berusia 33 tahun itu iaitu di kuarters sebuah sekolah menengah di Jerantut pada kira-kira jam 3.30 petang, Khamis lalu.
Menurut sumber, sebelum kejadian guru terbabit dikatakan menghubungi ibu mangsa dan mempelawa mangsa datang ke rumahnya dengan alasan mahu membantunya belajar dan tawaran itu diterima baik ibu mangsa tanpa sebarang prasangka.
Katanya, mangsa pergi ke rumah gurunya itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya dengan ditemani rakan, namun rakannya terus pulang selepas menghantarnya.
“Pada mulanya guru itu mengajar mangsa tugasan sekolah, namun dipercayai gagal mengawal nafsunya dan terus memeluk mangsa dari belakang sebelum merogolnya.

Sunday 13 April 2014

Empat Asas Utama Sahsiah Bagi Mencapai Kesempurnaan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Guru merupakan orang yang bertanggungjawab dalam membentuk insan yang bergelar pelajar menjadi seorang yang mampu mengemudi dan mentadbir negara suatu hari nanti.
Didikan serta tunjuk ajar yang berkesan daripada guru yang bersahsiah merupakan  tunggak utama untuk mencapai cita-cita seseorang disamping berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan yang lebih bernilai bagi seseorang pelajar.

Bagaimanakah untuk menjadi seorang guru yang bersahsiah..?

Menurut Al-Ghazali, guru yang cemerlang merupakan individu yang mempunyai sahsiah terpuji antaranya :

  1. Bijaksana : Wujud keserasian di antara ilmu dan amal. Ilmu memandu seseorang agar boleh membezakan perkara baik dan buruk. Ilmu memberi kesan yang baik kepada diri seseorang di mana ia dapat menghasilkan nikmat dan mendatangkan kepada diri.
  2. Keadilan : Apabila jiwa dapat mencegah kemarahan dan hawa nafsu untuk mencapai nikmat tersebut. Aspek ini membimbing manusia ke arah keselamatan, ketenteraman, kedamaian, dan kebahagian.
  3. Keberanian : Mempunyai keteguhan ati bagi mempertahanan dan membela kebenaran. Tiada sifat ingin mengundur walaupun dicela dan tidak mudah alpa ketika mendapat sanjungan.
  4. Mencegah diri daripada perbuatan maksiat yang boleh mendatangkan dosa dan mengurangkan pahala.

Kaedah yang berkesan dalam proses Pembentukan Sahsiah Mulia :


  • Mendampingi guru yang mursyid : 
Mencari guru yang mursyid serta pandai mendidik agar dapat menunjukkan jalan yang betul untuk menghapuskan tingkah laku jahat. Mengikut Al-Ghazali, guru adalah seperti seorang petani yang mencabut duri dan rumput di celah tanaman agar tumbuhan dapat hidup subur dan mendapat hasil yang banyak


  • Pendidikan melalui persekitaran yang baik :
Al-Ghazali yakin bahawa pendidikan sahsiah dapat dicapai apabila terdapat proses pengaruh mempengaruhi antara fitrah dengan linkungan atau persekitaran. Beliau percaya bimbingan yang berguna boleh mengubah tabiat manusia. Menyanggah pandangan setengah ilmuan yang mengatakan bahawa tabiat manusia tidak boleh diubah seperti malas dan menyerah diri kepada nasib sahaja.

Sekian daripada kami untuk pengisian dan perkongsian ilmu... selamat membaca dan selamat beramal.. 

SAHSIAH GURU TERPUJI VS SAHSIAH GURU TIDAK BAIK !!

5 sahsiah guru terpuji :)


  1. Mesra pelajar
    --> Guru sentiasa mengambil tahu hal dan masalah murid serta mudah diingati oleh pelajarnya.
  2. Amanah dengan tanggungjawabyang dipikul
    --> Guru sentiasa amanah dengan tanggungjawab yang dipikul dalam mendidik dan menjalankan tugas yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah.
  3. Baik hati dan suka menolong
    --> Guru sentiasa menghulurkan bantuan kepada murid apabila menghadapi masalah dalam hal peribadi dan juga pelajaran.
  4. Bersifat penyabar
    --> Guru sentiasa bersabar dengan kerenah murid dalam menyampaikan isi pelajaran.
  5. Periang
    --> Guru mempamerkan wajah yang ceria dan bersikap sebagai seorang yang periang apabila berdepan dengan murid tidak kira di dalam dan di luar bilik darjah.

5 sahsiah guru tidak baik :(

  1. Tidak bertanggungjawab
    --> Terdapat segelintir guru tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diberikan seperti mengendalikan aktiviti ataupun majlis disekolah.
  2. Bersikap tidak adil dan pilih kasih
    --> Guru hanya memberi tumpuan kepada murid yang pandai dan disukainya sahaja. 
  3. Emosi tidak seimbang dan mudah marah
    --> Guru tidak dapat mengawal emosi apabila menghadapi masalah dan melepaskan perasaannya kepada murid.
  4. Mementingkan diri sendiri
    --> Mengambil cuti sakit walaupun dalam keadaan sihat untuk kepentingan hal peribadi.
  5. Tidak mesra murid
    --> Guru hanya tumpukan pada tugas mengajar sahaja dan tidak mengambil peduli akan hal dan masalah yang dihadapi oleh pelajar.


Komunikasi Antara Guru dan Pelajar

Hubungan antara guru dan pelajar sangatlah penting.Hal ini disebabkan kebanyakan masa pelajar dihabiskan di sekolah bersama guru berbanding dengan keluarga mereka. Interaksi atau komunikasi sesama guru dan pelajar haruslah dititikberatkan. Seorang guru hendaklah bijak dalam menarik minat para pelajarnya. Sebagai contoh, guru yang cemerlang haruslah pandai mengawal kerenah murid-murid. Masalah yang sering berlaku sekarang ini adalah apabila guru-guru merasakan bahawa komunikasi yang digunakan sekarang ini sudah berkesan dalam membentuk peribadi seseorang pelajar. Bagi mereka kekerasan yang digunakan oleh mereka akan menjadikan seseorang pelajar itu patuh terhadap mereka. Namun, mereka tidak memikirkan kesan yang akan dialami oleh pelajar tersebut. Kemungkinan besar beliau akan merasa takut seterusnya menyebabkan beliau tidak mahu hadir ke sekolah. 

Menurut Eric Berne, terdapat tiga konsep dalam komunikasi iaitu Parent-Adult-Child. Parent menunjukkan seseorang itu mempunyai ciri-ciri keibubapaan. Contohnya, guru ini akan berfikiran secara matang dan tidak bertindak secara melulu. Selain itu, Adult pula menunjukkan ciri-ciri negatif seseorang guru tersebut. Dasawarsa ini, kita dapat lihat di dada-dada akhbar banyak memaparkan kes-kes penderaan pelajar oleh guru di sekolah. Kejadian seperti ini berlaku disebabkan guru-guru tidak dapat mengawal emosi mereka. Akhir sekali, Child. Konsep ini menunjukkan mengenai sahsiah seorang guru yang midah untuk memahami kehendak pelajarnya. Maksudnya di sini, seseorang guru itu mudah didekati dan senang untuk berkongsi masalah. Guru seperti ini jenis yang disenangi dan disayangi pelajar.


 Ciri-ciri komunikasi yang baik




Ciri-ciri komunikasi yang buruk

6 Nilai Bitara UPSI...

 1. Integriti
-Telus
-Adil
-Amanah
-Akauntabiliti

2. Profesional
-Beretika
-Iltizam
-Cinta Ilmu
-Kompeten

3. Semangat Berpasukan
-Peluang untuk maju
-Fokus matlamat
-Penghargaan
-Keselesaan persekitaran

4. Berorientasikan pelanggan
-Responsif
-Proaktif
-Mesra
-Berkualiti

5. Prihatin Kebajikan Anggota 
-Peluang untuk maju
-Empati
-Penghargaan
-Keselesaan berpasukan

6. Kreatif dan Inovatif
-Berdaya cipta
-Penambahbaikan berterusan
-Rebut peluang
-Nilai tambah


Guru Yang Tidak Berdisiplin dalam Menguruskan Masa


Assalamualaikum dan salam sejahtera..Ahlan Wasahlan..

Guru merupakan individu yang penting selepas ibu bapa dalam mendidik serta membentuk sahsiah seseorang agar menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara. Guru sepatutnya menunjukkan nilai yang baik kepada pelajar agar dapat dijadikan suri teladan kepada para pelajar. Dewasa ini, banyak permasalahn yang timbul dalam kalangan guru di sekolah antaranya guru tidak berdisiplin dalam menguruskan masa di sekolah. Kebanyakan guru tidak menggunakan masa yang diperuntukkan sepenuhnya untuk memberi didikan kepada pelajar. Guru lebih suka membazir masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah antaranya berbual-bual sesama guru dan hal ini akan menyebabkan seseorang guru itu lambat menghadirkan diri di kelas untuk mengajar. situasi ini boleh mungundang pelbagai perspektif negatif dalam kalangan pelajar dan ibu bapa. 

pelbagai akibat dan kesan negatif yang akan timbul jika guru berterusan mengamalkan sikap buruk ini antaranya : 
  • pelajar akan berkeliaran di luar kelas disebabkan tiada guru yang bertanggungjawab untuk mengawasi kelas tersebut.
  • pelajar akan mengganggu pelajar lain untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.
  • pelajar tidak menghormati guru dan mengambil mudah dalam semua perkara.
  • prestasi pelajar dalam pelajaran akan menurun.
Persoalannya dimanakah nilai seorang guru yang bersahsiah dalam membentuk pelajar yang berjaya dalam pelajaran dan akhlak? Mampukah guru-guru ini dijadikan suri teladan kepada anak bangsa kita yang bakal memimpin dunia? Sedarlah wahai guru-guru, anda merupakan individu yang bertanggungjawab dalam melahirkan insan-insan yang berjiwa kental dan  berjaya dari segi rohani,jasmani dan intelektual.

Isu Guru Menjalankan Kerjaya Sampingan

Profesion perguruan merupakan satu pekerjaan yang mulia, dihormati, dan disanjungi. Tugas seorang guru adalah untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna. Guru ibarat pellita yang menerangi masa depan pelajar. Namun demikian, tugas sebagai seorang guru ini juga tidak lari daripada isu-isu negatif seperti penyelewangan masa, penderaan, dan sebagainya. Acap kali kita dengar sekarang ini, kes guru menjalankan perniagaan sampingan di sekolah. Sepatutnya perkara seperti ini tidak boleh berlaku kerana tugas guru hanya untuk mendidik anak bangsa.

Perbuatan seperti ini boleh memberi kesan yang negatif kepada sahsiah guru terbabit. Jika dia terlalu leka dengan perniagaan tersebut walaupun semasa waktu rehat. Kemungkinan besar dia boleh terlewat masuk ke kelas. Oleh sebab itu, reputasinya di sekolah juga semakin menurun. Hal seperti ini, seharusnya diatasi dengan segera kerana sahsiah seorang guru menjadi contoh kepada murid-murid. Selain itu, isu-isu seperti ini telah memburukkan profesion perguruan walaupun yang melakukan hal-hal tersebut hanya segelintir. Namun, kesannya akan membabitkan pihak lain yang tidak terlibat. Seperti peribahasa "kerana nila setitik rosak susu sebelanga" .

Ciri-ciri Sahsiah yang Unggul ^_^

7 prinsip Bushido :
  1. Gi (Pengambilan keputusan berdasarkan kebenaran, meskipun mati dengan keputusan itu, maka matilah dengan gagah kerana matinya terhormat).
  2. Yu (Berani)
  3. Jin (Murah hati, Mencintai sesama manusia)
  4. Re (Santun, Bertindak benar)
  5. Makoto (Bersikap tulus, setulus-tulusnya)
  6. Meiyo (Menjaga kehormatan, martabat dan kemuliaan)
  7. Chugo (Mengabdi, Bertanggungjawab)
Kaizen (Falsafah orang Jepun yang dipegang teguh sehingga menjadi budaya mereka) :
  1. Fokus pelanggan
  2. Penambahbaikan berterusan
  3. Pengakuan terbuka
  4. Dorongan keterbukaan
  5. Pasukan kerja
  6. Mengurus projek secara rentas
  7. Mengembangkan proses hubungan yang tepat
  8. Disiplin peribadi
  9. Memberi maklumat
  10. Pekerja yang mampu 
7 nilai murni KPM :
  1. Amanah (Sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan) 
  2. Benar (Benar pada niat dan perbuatan)
  3. Bijaksana (Menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat keputusan dan tindakan sesuai dengan masa dan keadaan)
  4. Bersyukur (Perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian yang diterima)
  5. Dedikasi (Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti)
  6. Ikhlas (Berhati suci dalam menunaikan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran) 
  7. Penyayang (Perasaan dan perlakuan yang menunjukkan sikap memahami, menghargai dan mengambil berat)
Sifat Wajib Rasul :
  1. Siddiq (Benar dalam semua perkataan dan perbuatan)
  2. Amanah (Jujur dan boleh dipercayai)
  3. Tabligh (Menyebarkan dan menerangkan apa jua wahyu yang diterimanya daripada Allah)
  4. Fatanah (Cerdik, bijaksana, pandai dan cerdas)

Saturday 12 April 2014

Apa itu sahsiah ???

Sahsiah merupakan elemen penting yang harus ada dalam diri setiap guru. Hal ini disebabkan, tugas seorang guru adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai peribadi yang positif dari segi segala aspek.Menurut Muhammad Nubli (2008), sahsiah merangkumi aspek luaran dan dalaman. Aspek dalaman merangkumi fizikal manakala aspek luaran merangkumi emosi, rohani, kognitif dan sosial. Kombinasi kedua-dua aspek tersebut telah dipamerkan melalui tingkah laku ataupun lebih dikenali sebagai personaliti individu. Ciri-ciri yang dinamik dan tersusun dimiliki oleh seseorang yang mempengaruhi kognitif, motivasi dan tingkah lakunya dalam pelbagai situasi (Ryckman, 2000) dan sahsiah juga merangkumi empat asas pokok akhlak iaitu kebijaksanaan, keberanian, kebersihan jiwa dan keadilan (Imam Ghazali, 1999). Merujuk Kamus Dewan(2009) pula, sahsiah merupakan salah satu perkataan Arab yang bermaksud keperibadian atau peribadi. Peribadi pula bermaksud manusia sebagai diri sendiri, sifat-sifat (kelakuan/sikap) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri untuk membentuk watak dirinya.


Tuesday 8 April 2014

Assalamualaikum...

Bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya kami diberikan peluang untuk menyiapkan satu blog khusus untuk KIT Pembangunan Sahsiah atau juga dikenali sebagai "A Personality Development Kit for Excellent Teacher". Blog ini sebenarnya bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam diri setiap guru-guru mengenai betapa pentingnya penerapan nilai-nilai murni dalam setiap diri murid-murid.


As we knows, sekarang ini banyak sangat gejala-gejala sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah. Hal ini mungkin berlaku disebabkan kurangnya nilai-nilai sahsiah dalam diri pelajar. Oleh disebabkan itu, kami akan mengupas lebih lanjut mengenai masalah ini dalam entry yang seterusnya. Kami terdiri daripada empat orang dara pingitan iaitu Badariah binti Bakar @ Mohd Noor, Nurul Hanisah binti Mohamad Isa, Noor Fatehah binti Zainal, dan Shamimi binti Lin @ Abd Halim. 


Bunga mawar harum mewangi,

Kembang mekar di taman si nyonya,
Salam sayang mengundur diri,
Bertemu lagi di entry seterusnya.