Wednesday 23 April 2014

ISU SEMASA : SAHSIAH GURU 2

SITIAWAN - Guru yang didakwa mencederakan empat pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Nan Hwa, di sini diberikan cuti selama seminggu dan diarahkan supaya mendapatkan rawatan.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, guru berkenaan hanya boleh kembali ke sekolah setelah disahkan bersedia untuk kembali bertugas oleh pakar.

Menurutnya, kerajaan negeri dukacita dengan kejadian itu kerana bertentangan dengan etika profesion perguruan.

“Guru berkenaan diberi cuti selama seminggu dan dinasihatkan supaya menjalani rawatan sewajarnya dan jika pakar mengesahkan dia benar-benar sihat barulah boleh kembali ke sekolah.

“Namun begitu, saya akan membuat perbincangan dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Manjung dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi guru berkenaan,” katanya ketika melawat sekolah berkenaan, semalam.

Turut serta, Pengetua Sekolah, Ng Aik Geen dan Pengerusi Lembaga Sekolah, Ling Leong Peng.

Dr Muhammad Amin berkata, empat pelajar yang dicederakan oleh guru berkenaan kini trauma untuk berada di sekolah, namun dibantu melalui rawatan dan bimbingan kaunseling.

Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit telah kembali bersekolah dan meneruskan pelajaran seperti biasa.

Katanya, dalam kes itu, pihak berkaitan dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan masalah tersebut.


Sumber : http://www.sinarharian.com.my/guru-pukul-pelajar-cuti-seminggu-1.252077

No comments :

Post a Comment