Wednesday 16 April 2014

Murid dakwa dipukul oleh guru sehingga lebam ??

gambar hiasan


KLUANG - Seorang murid darjah lima di salah sebuah  sekolah rendah di daerah ini, mendakwa dipukul seorang guru menggunakan rotan di bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga  lebam, pagi kelmarin.

Abdul Rahman Mustafa, 11, yang juga kanak-kanak orang kurang  upaya (OKU) fizikal memberitahu, guru berkenaan memukulnya  kerana dia gagal menjawab  soalan yang diberikan pada sesi pembelajaran.


Menurutnya, sebelum dipukul dia diarahkan guru terbabit supaya menghulurkan tangan, tetapi dia mengelak.

Akibat tindakan itu katanya, guru tersebut bertindak di luar jangkaan dengan memukul bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga lebam.

Tambahnya, sebelum dipukul, dia terlebih dahulu dipanggil ke hadapan kelas dan cikgu itu menyuruhnya menghadap ke papan hitam lalu memukulnya dengan rotan yang besar.

“Lebih daripada sekali saya dipukul sehinggakan saya menangis kerana tidak dapat menahan sakit. Selepas dipukul, saya diarahkan untuk berdiri di atas kerusi,” katanya kepada Sinar Harian, di kediamannya di sini, semalam.

Ibu mangsa, Faridah Kunyikoya, 32, meluahkan rasa kesal di atas kejadian itu malah menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau meskipun sebelum ini dia tidak kisah jika anaknya dipukul bagi tujuan mendidik.

Menurutnya, kejadian itu diketahuinya selepas Abdul Rahman mengadu sakit di bahagian belakang badan sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

“Tanpa berlengah, saya melihat dan terkejut dengan lebam yang terdapat di bahagian belakangnya. 


“Pada mulanya saya mahu pendamkan sahaja perbuatannya kerana tidak mahu memalukan pihak sekolah tetapi saya tidak mahu perbuatan sama berulang lagi.

"Abdul Rahman kini trauma untuk ke sekolah dan mahu dia ditukarkan ke kelas pendidikan khas,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mustafa Mohamed, 35, memberitahu dia dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya kira-kira pukul 10.30 malam.

Dia kemudiannya segera membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam, di sini, kira-kira sejam kemudian.

Dia yang juga seorang penyelia di sebuah syarikat di Pasir Gudang membawa anaknya itu menjalani  pemeriksaan di Hospital Kluang  sebelum membuat satu lagi  laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, tengah malam kelmarin.

“Guru tersebut mengaku dan memohon maaf ketika saya berjumpanya di sekolah hari ini (semalam).

“Saya menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari, mengesahkan  menerima laporan berkenaan dan siasatan awal terhadap guru berkenaan sedang dijalankan.



Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/murid-dakwa-dipukul-guru-hingga-lebam-1.261726

1 comment :

  1. aku pown pernah kena pukul macam 2..hahaha..
    btw terbaik lah teha zainal :)

    ReplyDelete